Kuala Lumpur: Pengeluar produk berasaskan herba, Qayra Beauty Empire (QB Empire) menyasarkan keuntungan penjualan sehingga RM25 juta tahun ini berbanding RM17 juta pada 2021.
Pengasasnya, Noor Faqirah Abdullah berkata, ia adalah berkat komitmen wakil jualan serta permintaan daripada pelanggan dalam mengamalkan produk herba yang dipasarkan.
"Saya mula menjalankan perniagaan ini berbekalkan duit raya anak sebanyak RM1,500 sahaja dan mula mengeluarkan produk pertama iaitu Herba Kurus Tradisi (HKT) yang berasaskan akar kayu.
"Pada peringkat awal, memang tiada sambutan namun kami semakin dikenali di pasaran bermula pada pertengahan 2019.
"Sehingga kini, penjualan saya boleh mencecah sehingga jutaan ringgit dalam masa setahun serta 200,000 botol HKT terjual pada 2021," katanya kepada Bisnes Metro.
Menurutnya, produk yang dihasilkan QB Empire adalah akar kayu yang diperoleh bapa sendiri pada awal penjualannya.
Selain HKT, QB Emire turut menawarkan beberapa lagi barisan produk seperti Slimocha, Slimberry dan Slimnut, Maajun Premium serta produk terbaharu, Slimming Girdle.
Sementara itu, berkongsi cara pemasaran produk QB Empire, beliau berkata, pihaknya kini mempunyai seramai 6,000 orang wakil jualan serta menyasarkan peningkatan sehingga 20,000 orang untuk tahun ini.
"Jualan daripada wakil jualan yang komited dan rajin boleh mencecah RM400,000 sebulan dan saya berbangga dengan kejayaan mereka menggunakan komisen untuk membeli aset.
"Sejajar dengan perniagan yang semakin berkembang ini, kami juga mengimpikan untuk memiliki bangunan sendiri di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, Kelantan," katanya.
Dalam pada itu, Noor Faqirah berkata, pihaknya turut merancang untuk melebarkan sayap perniagaan ke luar negara seperti Thailand, Indonesia dan Singapura.
Bagaimanapun, ia bukan dalam jangka masa terdekat kerana ingin memenuhi permintaan tempatan terlebih dahulu.
© New Straits Times Press (M) Bhd