Kuala Lumpur: Herbatera Marketing menyasarkan pengeluaran 3,000 unit produk baharunya, Magika Gel dapat dijual setiap bulan disokong menerusi ejen dalam dan luar negara.
Pengasasnya, Nor Iesyatirradiah Sanny Toh berkata, Magika Gel mula diperkenalkan pada Januari lalu selepas beberapa tahun produk pertamanya, Memoonchak berada di pasaran.
"Kami positif untuk mencapai sasaran pengeluaran terbabit berikutan Magika Gel laris terjual 1,000 unit tidak sampai sebulan selepas diperkenalkan.
"Dengan permintaan tinggi pelanggan dan ejen kami di dalam dan luar negara yang komited, kami optimis sasaran ini bakal tercapai," katanya kepada Bisnes Metro.
Menurutnya, setakat ini, pihaknya mempunyai wakil jualan (ejen) di Singapura, Brunei dan Australia berikutan permintaan daripada rakyat Malaysia yang menetap di sana.
Beliau berkata, Magika Gel adalah krim yang membantu melegakan ketidakselesaan badan antaranya seperti kembung perut, senggugut dan regangan otot.
"Ia sesuai digunakan oleh lelaki dan wanita berbanding produk pertama sebelum ini, Memoonchak yang lebih memfokuskan kepada penjagaan dalaman wanita," katanya.
Sementara itu, Nor Iesyatirradiah berkata, selain memfokus terhadap penjualan produk, pihaknya turut memainkan peranan dalam tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan membantu golongan kurang bernasib baik.
"Dalam situasi pandemik dan cabaran ekonomi semasa ini, kami komited menghulurkan sumbangan dan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
"Aktiviti kemasyarakatan dijalankan syarikat ini juga hasil daripada jualan produk yang memberangsangkan daripada pelanggan, justeru kami berbesar hati untuk memberi semula kepada masyarakat memerlukan.
"Kami memperuntukkan 15 peratus daripada hasil jualan produk Memoonchak dan Magika Gel untuk digunakan bagi tujuan kebajikan.
"Selain mendapatkan manfaat produk, pengguna turut berpeluang untuk menjalankan kerja amal bersama kami," katanya.
Jelasnya, Herbatera Marketing mula aktif menjalankan kerja amal dua tahun selepas pelancaran produknya iaitu pada 2018.
Nor Iesyatirradiah berkata, aktiviti kebajikan yang dijalankan tidak akan terhenti dan pihaknya akan terus menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd