Tangkak: Impiannya mahu menjadi jurutera tetapi graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan Robotik dan Automasi Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Nur Ashikien M Azhar terpaksa akur persaingan tinggi apatah lagi dalam pandemik Covid-19 ini.
Enggan mempersiakan masa, gadis berasal dari Tangkak, Johor ini memilih untuk menceburkan diri dalam perniagaan makanan demi kelangsungan hidup.
Siapa sangka, idea menjual sambal acar ikan masin yang dimasaknya sendiri berjaya merubah hidupnya yang kini bergelar usahawan muda.
Bercerita lanjut, anak ketiga daripada lima beradik ini berkata, perniagaan yang diusahakannya secara dalam talian itu bermula Julai 2020 berbekalkan modal Bantuan Prihatin Nasional (BPN).
"Saya tamat pengajian pada 2016 dan selepas itu banyak kerja saya buat antaranya jadi kru restoran sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur untuk sertai Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) di bawah Tenaga Nasional Berhad (TNB).
"Selepas tamat SL1M, saya jadi Perunding Unit Amanah hampir setahun hingga akhir 2019 sebelum memilih untuk pulang semula ke kampung halaman kerana pendapatan tidak tetap ditambah pula kos sara hidup yang tinggi di bandar.
"Saya tiada kerja selama enam bulan kerana pandemik Covid-19 dan dari situlah idea untuk berniaga muncul dengan memanfaatkan sepenuhnya wang BPN," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurutnya, dia bermula dengan modal RM300 daripada BPN untuk menghasilkan 30 botol sambal acar ikan masin.
"Pada mulanya sambutan hanya dalam kalangan ahli keluarga dan rakan-rakan.
"Namun, selepas saya berusaha belajar teknik promosi perniagaan yang betul dan hasilkan kualiti produk lebih baik, Alhamdulillah kini purata jualan mencecah 500 botol dengan pendapatan lebih kurang RM4,000 sebulan," katanya.
Nur Ashikien yang mempunyai 330,000 pengikut di aplikasi TikTok miliknya, @umeazhar berkata, ibunya, Samerah Buthirie, 59, antara orang kuat yang sentiasa memberi sokongan penuh dalam perniagaannya.
"Saya manfaatkan sepenuhnya aplikasi TikTok, tetapi tidak guna teknik 'hard selling' sebaliknya menghasilkan kandungan menarik mengenai kehidupan harian supaya netizen tidak jemu untuk tonton.
"Bila satu perkongsian saya viral (tular) di TikTok secara tidak langsung permintaan sambal meningkat.
"Disebabkan itulah saya konsisten untuk menghasilkan kandungan menarik supaya permintaan jualan tidak putus," katanya.
Ditanya mengenai impiannya bergelar jurutera, Nur Ashikien berkata, hasratnya itu tidak pernah pudar.
"Tipulah saya tidak mahu jadi jurutera, empat tahun saya belajar di UTeM, keinginan itu ada. Tetapi, saya perlu sedar belum ada rezeki dalam bidang itu.
"Saya tidak pernah berasa tempoh saya belajar di universiti itu sia-sia kerana dapat peroleh pengalaman dan ilmu," katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd